Home

Friday, July 30, 2010

Fidyah : Penjelasannya

Artikel yang di baca di Utusan Malaysia Online yang boleh dijadikan garis panduan pada ibu-ibu : yang menyusukan anak atau yang mengandung .


Soalan:

Mohon penjelasan lanjut mengenai fidyah, antaranya, kewajipan membayar fidyah, siapakah yang wajib membayar fidyah?

Jawapan:
Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud: ...dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin...(al-Baqarah: 184).

Berdasarkan dalil di atas, fidyah puasa hukumnya wajib disempurnakan mengikut bilangan hari.
Fidyah puasa (tebusan) adalah denda ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun kerana sengaja melewatkan puasa qada bulan Ramadan.

Ia merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian iaitu sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Sabda Rasulullah SAW, "Bagi orang yang meninggal dunia dan tidak berpuasa selama sebulan hendaklah dikeluarkan fidyah dan berikan kepada fakir dan miskin". (riwayat Al-Tirmizi)

Sebab seseorang dikenakan fidyah adalah seperti berikut;

  • Tidak mampu berpuasa, kebiasaannya keadaan ini berlaku ke atas orang yang telah lanjut usia. Tidak semua yang mereka yang berumur mampu berpuasa. Ini kerana tua juga merupakan satu penyakit.Ibn Abbas berpendapat bahawa ayat 184 daripada surah al-Baqarah itu adalah rukhsah (kelonggaran) kepada mereka yang telah berumur (tua).Walaupun puasa adalah wajib, namun bagi mereka yang telah lanjut usianya yang tidak mampu berpuasa maka boleh berbuka dengan membayar fidyah setiap hari satu cupak (567 gram). Sekiranya seseorang yang telah lanjut usianya tidak mampu berpuasa dan juga tidak mampu mengeluarkan fidyah atau membayar fidyah maka mengikut pandangan ulama tidak berdosa. Mazhab al-Hanafiyyah menyuruh orang yang tidak membayar fidyah supaya beristighfar serta memohon keampunan Allah SWT atas ketidakmampuannya membayar fidyah, sedang Allah swt berfirman yang bermaksud: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya…"(al-Baqarah: 286)


  • Sakit yang tidak mungkin sembuh. Mereka yang disahkan sakit dan tidak akan sembuh tidak diwajibkan puasa. Firman Allah SWT yang bermaksud: …dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…(al-Haj: 78)



  • Perempuan yang hamil dengan syarat dibimbangi keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan fidyah dan juga wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan.



  • Ibu yang menyusukan anak dengan syarat dia berasa bimbang puasa akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. Maka wajib baginya mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah.



  • Orang yang telah meninggal dunia. Hutang puasa bagi mereka yang meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

  • No comments:

    Post a Comment